About Me

My photo
Kuala Lumpur, Malaysia
freelancer : concept design.space planning.3D. graphic.id.architecture.landscape. art painting email: myyaarc@yahoo.com mobile no : +60179510905 Quotes: ‎"Keep doing what you love to the best of your ability. Stop judging and get out of your own way." Anything, feel free to ask me ! :)

Wednesday, November 5, 2008

PESANAN LUKMANUL HAKIM : 11 PESAN UNTUK ANAKKU

Pesanan Lukmanul Hakim (sahabat Nabi yang alim) kepada anak-anaknya:

1. Wahai anakku, ketahuilah sesungguhnya dunia ini bagaikan lautan yang dalam, ramai yang telah karam di dalamnya. Jika engkau ingin selamat, layarilah lautan itu dengan sampan yang bernama takwa, isinya ialah iman dan layarnya adalah tawakal kepada ALLAH.

2. Wahai anakku, orang yang berasa dirinya hina dan rendah diri dalam beribadat serta taat kepada ALLAH, maka dia itu orang yang tawaduk, lebih dekat kepada ALLAH dan selalu berusaha menghindarkan maksiat.

3. Wahai anakku, seandainya ibu bapamu marah kepadamu kerana kesilapan yang dilakukanmu, maka marahnya ibu bapamu itu adalah bagaikan baja untuk tanam-tanaman.

4. Wahai anakku, ketahuilah memindahkan batu besar dari tempatnya itu lebih mudah daripada mengajar orang yang tidak mahu diajar.

5. Wahai anakku, apabila engkau mempunyai dua pilihan, menziarahi orang mati atau hadir ke majlis perkahwinan, pilihlah untuk menziarahi orang mati kerana ia akan mengingatkanmu kepada kampung akhirat sedangkan menghadiri pesta perkahwinan hanya mengingatkan dirimu kepada kesenangan duniawi semata-mata.

6. Wahai anakku, janganlah engkau menelan sahaja kerana manisnya sesuatu makanan dan janganlah memuntahkan saja kerana pahitnya sesuatu makanan itu, kerana manis belum tentu menimbulkan kesegaran dan pahit belum tentu menimbulkan kesengsaraan.

7. Wahai anakku, bukanlah satu kebaikan namanya bila mana engkau selalu mencari ilmu tetapi engkau tidak pernah mengamalkannya, kerana ia tidak ubah seperti orang yang mencari kayu api tetapi setelah banyak dia tidak mampu memikulnya, padahal dia masih mahu mengumpulnya.

8. Wahai anakku, bila mana engkau mahu mencari kawan sejati maka ujilah terlebih dahulu dengan berpura-pura membuat dia marah. Bila mana dalam kemarahan itu dia masih berusaha menginsafkanmu, maka bolehlah engkau mengambil dia sebagai kawan. Jika tidak demikian, maka berhati-hatilah.

9. Wahai anakku, bila engkau berteman, tempatkanlah dirimu sebagai orang yang tidak mengharapkan sesuatu daripadanya. Biarkanlah dia mengharapkan sesuatu darimu.

10. Wahai anakku, bergaul rapatlah dengan orang yang alim lagi berilmu. Perhatikanlah kata-kata nasihatnya kerana sesungguhnya sejuklah hati ini mendengarkan nasihatnya, hiduplah hati ini dengan cahaya hikmah dari mutiara kata-katanya bagaikan tanah yang subur lalu disirami air hujan.

11. Wahai anakku, ambilah harta dunia sekadar keperluanmu sahaja dan nafkahkanlah yang selebihnya untuk bekalan akhiratmu. Janganlah engkau tendang dunia ini ke keranjang sampah kerana nanti engkau akan menjadi pengemis yang membebankan orang lain. Sebaliknya, janganlah engkau peluk dunia ini serta meneguk habis airnya kerana sesungguhnya yang engkau makan dan pakai itu adalah tanah belaka.